• Skip to content
  • Skip to primary sidebar

Cik Yam

Archives for March 2019

Dream Cruise – Pelayaran Impian

28 March 2019 by Cik Yam Leave a Comment

Bila Cik Yam baca blog tentang travel, ramai yang berkongsi pengalaman bercuti diseluruh dunia sama ada melalui udara, darat mahupun bot-bot kecil untuk ke pulau. Tapi kali ni Cik Yam nak kongsi pengalaman bercuti melalui kapal laut pulak. Kapal bukan sebarang kapal ya.

Baru-baru ni, sekitar Februari 2019, Cik Yam bersama rakan sepasukan berpeluang bercuti di atas kapal mewah Genting Dream Cruise. Ini adalah antara kapal terbesar dan terbaru di kalangan kapal-kapal percutian yang ada. Dream Cruise ini mampu menampung kira-kira 3,400 orang penumpang dan anak kapal.

Wakil dari ThinkTongClan

Semestinya Cik Yam teruja sangat dengan trip kali ni sebab ini pengalaman pertama Cik Yam naik kapal besar macam ni tau! Perjalanan Dream Cruise bermula dari Singapura. Kemudian menuju ke Pulau Pinang, langsung ke Phuket dan kembali semula ke Singapura.

Maka berpagianlah kami dari Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi untuk ke pelabuhan Marina Bay, Singapura. Cik Yam dan ahli pasukan yang pergi adalah seramai 120 orang. Kami berkumpul di bangunan UOA Kuala Lumpur menuju Singapura dengan 3 buah bas persiaran. Sebaik sampai di pelabuhan, memang Cik Yam kagum gila sebab kapal ni teramatlah besar! Rase macam bangunan UOA KL tadi seketul kt tengah laut.

Nadi CSTeam!

Selepas melalui beberapa kali pemeriksaan Imigresen dan Kastam (dari Malaysia masuk Singapura dan keluar Singapura semula) akhirnya kami selamat sampai ke dalam kapal. Masuk2 je rase macam masuk lobi hotel. Kami diberi sekeping kad akses. Kad ini bukan hanya untuk keluar masuk bilik, tetapi segala perbelanjaan didalam kapal akan dicaj pada kad tersebut. Semua urusniaga menggunakan Singapore Dollar. Bayaran perlu dibuat pada hari terakhir percutian. 

Sebaik sahaja check-in, tempat pertama yang dituju adalah tempat makan! Masing-masing memang letih dan lapar, tak boleh fikir lain dah masa tu. Hahahaha…. Alhamdulillah makanan ala buffet yang disediakan tersangatlah sedap dari masakan Melayu, India, Cina, masakan Itali dan Western terhidang untuk dijamah. Dia punya sedap dan teruja tu sampai tak sempat ambik banyak gambar. Kikikih.

Dream Cruise ni ada 19 tingkat atau bahasa kapalnya, 19 deck gitu.. Cik Yam di deck 12. Selain ratusan bilik penginapan, terdapat 35 buah restoran, bar dan lounge, 2 kolam mandi, 4 jakuzi, taman air dengan 6 waterslides, sebuah teater filem outdoor, wayang 3D, wall climbing, serta ruang membeli belah (bebas cukai). Boleh bayangkan macam mana punya besar kapal ni? Memang besar yakmat!

Partner in crime…
Room-mate Cik Yam, Elynn…cantik kan?
Acah-acah jer ni….padahal panas namateyyy….!

Anggaran kos keseluruhan pasukan Cik Yam ni lebih RM200,000 tapi yang bestnya kami pergi PERCUMA!! Ditanggung sepenuhnya oleh company. Bawak duit untuk shopping dan beli cenderahati je. Syiokk ooo keje macam Cik Yam. Hahhaha…

The best shot! Lighting cantik, cuaca baik.

Kalau ada rezeki, Cik Yam teringin nak pergi lagi bawa anak-anak pulak. Manalah tahu satu hari nanti. So, lepas ni korang boleh la cuba bercuti atas kapal laut pulak. Asyik kapal terbang je kan. Ada banyak pakej dari beberapa cruise kat Malaysia ni. Cuma Dream Cruise ni kategori kapal mewah, harga memang sepadanlah.

Jumpa lagi!

Filed Under: Info menarik, Travel, Umum Tagged With: dream cruise, genting dream cruise, kapal mewah, percutian, travel

Anda penggemar kopi?

26 March 2019 by Cik Yam Leave a Comment

coffee-seeds

Sedari dulu sememangnya kopi menjadi minuman kegemaran ramai. Walau disogok pelbagai yang negatif tentang kopi, namun penggemarnya tidak mudah meninggalkan kopi bergitu saja. Sama macam Cik Yam, tapi tidaklah sampai ketagihan. Sekarang semakin banyak kedai-kedai kopi yang di buka secara francais, tak kurang juga kedai-kedai kopi hipster yang semakin banyak dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Tapi ini bukan yang Cik Yam nak cerita untuk entri kali ini. Cik Yam sekadar nak berkongsi antara kopi-kopi yang selalu terdapat di kedai-kedai kopi moden mahupun kopitiam. Kopi-kopi ini boleh dikatakan antara yang menjadi favourites di kalangan rakyat Malaysia.

coffee-types


Espresso – Kopi ini boleh dianggap sebagai ibu kepada jenis-jenis kopi yang lain. Pada penggemar kopi yang ekstrim, semestinya kopi Espresso memberikan kepuasan sebenar. Kalau yang tak biasa, jangan terkejut kalau Espresso ini datang dalam gelas yang kecil. Ianya umpama pati kopi, diminum sedikit demi sedikit tanpa campuran gula mahupun susu.

Americano – Kopi ini dalam bahasa mudahnya adalah kopi ‘O’. Kandungan kopi espresso dicampur air. Kalau tak tahan pahit, tambahlah gula. Barulah ummphh!

Macchiato – Ini kopi yang terpaling Cik Yam gemari. Gabungan kopi espresso dan bebuih susu sememangnya memberikan ketenangan. ‘Double shot’ espresso untuk Cik Yam, ditambah pula dengan karamel…nikmat!

Mocha – Kopi ini adalah campuran coklat dan susu untuk penggemar kopi yang manis. Sirap coklat, kopi dan susu digabungkan untuk menghasilkan rasa kopi yang tidak terlalu keras.

types-of-coffee

Okay, cukup antara kopi-kopi kegemaran Cik Yam. Ada banyak lagi jenis kopi dari seluruh pelusuk dunia. Setiap kopi dari negara-negara yang berlainan semestinya membawa rasa kopi yang berbeza. Nanti ada masa Cik Yam kongsi tentang jenis-jenis biji kopi pulak ya!

Filed Under: Foodlover, Info menarik, Umum Tagged With: jenis kopi, kopi

Tips menghias ruang dapur yang kecil

23 March 2019 by Cik Yam Leave a Comment

Dekorasi yang menarik pastinya akan membangkitkan rasa aman, tenang dan bersemangat untuk melakukan aktiviti, termasuk di ruang dapur. Bagi kebanyakan rumah seperti apartment ataupun studio, sememangnya ruang dapur sangat terhad. Anda perlu bijak memilih perabot dan peralatan yang sesuai untuk memastikan dapur anda nampak kemas dan menarik. Barulah rasa rajin nak memasak, kan? Okey jom ikuti tips ini!

Dapur-kecil
  1. Pilih warna dinding yang cerah – pemilihan warna di ruang dapur yang kecil ini amat penting kerana memberi kesan kepada seluruh ruang. Pilih warna yang cerah seperti putih atau krim. Warna-warna sebegini bukan sahaja membuat dapur anda nampak luas, tetapi juga amat mudah untuk dipadankan dengan warna perabot yang lain.
  2. Pencahayaan – amat penting dalam memberikan kesan kepada ruang yang kecil. Pastikan anda memilih lampu putih untuk ruang dapur anda. Di dapur anda akan melakukan aktiviti yang menggunakan peralatan yang tajam seperti pisau, jadi pengcahayaan yang cukup adalah suatu kemestian.
  3. Jenis perabot – pemilihan jenis perabot yang tepat juga membantu dalam menghias dapur yang kecil agar nampak lebih luas. Idea dari ruangan internet banyak membantu anda memilih perabot yang sesuai dan minima.
  4. Warna perabot – antara perkara yang memerlukan penelitian dalam menghias ruang dapur adalah warna perabot seperti kabinet, peti sejuk, meja dan kerusi mahupun mesin penapis air. Sekali lagi, warna yang cerah adalah digalakkan untuk ruang dapur kecil atau mungkin boleh dipadankan dengan 1 lagi warna yang selain warna putih. Hitam atau kelabu padanan yang sesuai.
  5. Penggunaan cermin – sememangnya penggunaan cermin mampu memberikan efek luas di mana-mana ruang sekalipun. Cermin boleh diletakkan di dinding kabinet ruang dapur atau sebuah cermin besar di salah satu panel dinding dapur anda.

Okey cukup 5 tips yang Cik Yam kongsikan. Kalau nak lagi boleh Google je, memang banyak idea. Kalau ada bajet lebih, tak payah pening-pening, pergi je Ikea. Korang order je, siap pasang! Bukan apa, bila dapur kita kemas dan cantik, barulah semangat nak memasak tu datang. Masa tu macam-macam benda nak masak, macam-macam resepi nak di cuba! kih kih kih.

Selamat menghias dapur anda. Kalau ada idea menarik untuk dikongsikan, bagitahu Cik Yam tau. Bye!

Filed Under: Dekorasi, Umum Tagged With: hiasan dapur, idea dapur sempit

Kedai Pakaian Buat Wanita Plus Size

21 March 2019 by Cik Yam 4 Comments

Sebelum ni memang susah nak cari baju bersaiz ‘comel’ macam Cik Yam. Kalau ada pun, sedih bila tengok design yang ada. Diskriminasi. Semuanya nampak outdated. Nak tak nak, terpaksalah ditempah. Kalau tempah tu faham-faham kan. Kena beli kain lagi, upah menjahit lagi. Sepasang baju je dah cecah ratus ringgit. Bak kate orang Peghok, mangkor yeop!

Nahhh..! Sekarang tidak lagi. Kedai yang menjual pakaian plus size dah melambak di pasaran terutamanya di pasaran online. Ada yang boleh dibeli terus dari kedai, ada juga yang hanya menjual size besar secara online sahaja. Diskriminasi kuasa dua. Mari Cik Yam kongsikan antara kedai yang ada menjual pakaian plus size sama ada di kedai atau pun secara online yang biasa Cik Yam beli.

1. Marks & Spencer (M&S) – Jenama dari UK ini ada beberapa cawangan di seluruh Malaysia. Cawangan terbesar di Suria KLCC dan One Utama yang mana pilihan lebih banyak berbanding cawangan lain. Cawangan lain seperti di Paradigm Mall, Sunway Velocity Mall, Mid Valley dan Johor Bharu. Walau bagaimanapun, M&S tidak menawarkan pembelian secara online untuk pasaran Malaysia.

2. Dorothy Perkins (DP) – Jenama yang juga berasal dari UK ni sememangnya tidak asing di kalangan kebanyakan wanita. Ada beberapa cawangan di sekitar Kuala Lumpur. Pakaian kasual dan formal boleh di dapati di sini. Ada 4 kategori di sini iaitu Petit, Tall, Maternity dan Curves untuk plus size.

3. Poplook – Jenama ini sememangnya memulakan perjualan secara online. Berpusat di Melaka, jenama Poplook menawarkan pakaian plus size dan saiz normal yang cantik dan menarik. Kini Poplook telah membuka 3 cawangan di Setia City Mall, KL Sogo dan The Curve.

4. MisClaire – MisClaire juga antara jenama yang hanya menjual pakaian plus size dan cukup dikenali di kalangan wanita-wanita berbadan besar. Penjualan utama adalah melalui online dan mereka hanya membuka cawangan jualan di pejabat urusan MisClaire di Petaling Jaya.

Selain dari 4 kedai yang Cik Yam suka beli ni, Cik Yam suka jugak jenama Uniqlo dan H&M turut menawarkan pakaian plus size tetapi hanya melalui aplikasi online sahaja. Kalau pergi dekat kedai memang tak jumpalah saiz besar-besar ni ye.

Kalau nak murah sikit, anda boleh beli di Shopee. Tapi kebanyakan penjual adalah berpusat di China, maka penghantaran agak lewat sekitar 14-30 hari.

Ok, cukup untuk hari ini. Moga dapat memberi idea pada golongan ‘comel’ ni. Jangan rase rendah diri tak tentu hala tau. Badan besar pun boleh melaram tau. Tapi yang penting sedap mata memandang.

Dan kalau boleh, diet lah Jahh..!

Filed Under: Info menarik, Umum Tagged With: baju plus size, kedai plus size

Aplikasi Jom Parking – Cara Mudah Bayar Parkir

20 March 2019 by Cik Yam 2 Comments

Pernahkah anda mengalami situasi sukar apabila memakir kenderaan di tempat awam seperti di kawasan premis perniagaan, kawasan pejabat dan sebagainya. Bukan di kawasan parkir yang tertutup ya. Nak bayar di mesin tak ada duit syiling, nak bayar menggunakan kad Touch N Go, rosak pula. Kalau begitu, sila muat turun aplikasi Jom Parking. Pssstt… ini bukan reviu berbayar tau.

Aplikasi ini sangat mudah digunakan di zaman penggunaan telefon pintar sekarang ini. Anda hanya perlu mendaftar sebagai pengguna. Kemudian anda perlu membeli token melalui pembayaran online banking atau menggukan kad debit mahupun kad kredit.

Sonang yo guno aplikasi @JomParking pic.twitter.com/XQpSCwkL5C

— JomParking (@JomParking) January 30, 2019

Harga token yang dijual adalah 100 token bersamaan RM1.00. Jumlah token minima yang boleh dibeli adalah 500 token bersamaan RM5.00 hingga 10000 token bersamaan dengan RM100.00.

jom-parking-token

Kemudian anda perlu mendaftarkan nombor plat kenderaan yang menggunakan lot parkir. Seterusnya anda perlu membayar menggunakan token yang dibeli mengikut jam penggunaan parkir. Dalam erti kata lain, secara pra-bayar. Anda akan mendapat notifikasi sekiranya waktu parkir hampir tamat.

Menariknya, anda boleh mendaftar lebih dari satu nombor pendaftaran kenderaan. Jika anda yang menggunakan kereta berlainan, jangan lupa daftarkan juga nombor perdaftaran ya. Harga bayaran parkir adalah mengikut kadar yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

jom-parking-rate
jom-parking-bandar-sri-permaisuri
Kawasan Bandar Sri Permaisuri cuma 80 sen sejam!

Selain itu, aplikasi Jom Parking ini boleh digunakan untuk membeli pas bulanan pengangkutan awam RapidKL dan pas bulanan parkir di daerah Seremban, Negeri Sembilan. Dah tak perlu beratur panjang setiap hujung bulan untuk membeli pas bulanan.

Cuma perlu mengambil pas fizikal di tempat ditetapkan selepas pembayaran di Jom Parking.
Pilihan pembelian pas bulanan dari satu bulan hingga satu tahun.

Mudah bukan? Segalanya di hujung jari. Dalam hidup yang sering mengejar masa ni, memang aplikasi begini sangat membantu. Kerja lebih mudah, tak perlu susah cari duit syiling dan yang paling penting, tak kena saman dan bayar kompaun!

Cik Yam memang suka aplikasi ni. Siapa yang tak suka kan? Kiranya salah satu masalah Cik Yam masa parkir kereta di kawasan pejabat jadi mudah dan rasa lebih sistematik. Info lanjut boleh layari www.jomparking.com.

Itu saja untuk entri kali ini. Jumpa lagi!

Filed Under: Info menarik, Umum Tagged With: aplikasi terkini, jom parking, parking dbkl

Semanis Secawan Jagung

19 March 2019 by Cik Yam 2 Comments

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Ni nak tanya sikit. Siapa yang macam Cik Yam? Bila jalan-jalan dekat shopping mall mahupun pasar malam tu semerbak harum benda ni, terus je cari gerai yang menjual. Apa lagi kalau bukan aroma jagung kukus atau kita selalu panggil sweet corn cup. 

Rasa jagungnya yang manis, ditambah pulak dengan rasa lemak masin majerin, ada juga yang letak sekali susu pekat manis. Aduiii…terliur dibuatnya! Tapi kan, selalu Cik Yam macam tak puas beli 1 cawan tu tau. Kalau beli banyak-banyak nanti hilang pulak kemanisan Cik Yam. Kih kih kih.

Jadinya, kalau teringin nak makan jagung manis, baik kita buat sendiri. Anak-anak Cik Yam pun suka sangat. Senang je nak buat uols.

Bahan-bahan dan perkakasan yg perlu ada:

– Jagung manis sejuk beku

– Majerin

– Garam

– Susu pekat manis

– Periuk pengukus

Cara-caranya:

Letakkan air pada periuk bawah. Kemudian masukkan butiran jagung sejuk beku kedalam periuk pengukus. Masak atas dapur dengan api sederhana selama lebih kurang 10 minit.

Kalau uols tak ada pengukus tu guna periuk biasa pun boleh, letakkan jagung tu dalam mangkuk tapis yang tahan panas. Lapiskan atas periuk yang berisi air di bawahnya. Nak mudah, guna je periuk nasi. Kan ada sekali mangkuk utk kukus tu kan? Nak terpaling mudah, pakai food steamer elektrik tu jer.

Sweet corn

Bila jagung dah masak, letakkan jagung kedalam mangkuk. Masukkan majerin, secubit garam dan kacau rata ketika masih panas. Untuk tambahan rasa, masukkan susu pekat manis. Jangan banyak sangat tau, potong kaki nanti.

Mudah kan? Bukan apa, buat sendiri boleh makan ulang-ulang. Sebaiknya gaul jagung dengan bahan-bahan yang lain tu ikut berapa banyak kita nak makan. Kalau gaul sekaligus tapi tak habis, nanti tak sedap kalau dibiar untuk makan kemudian. Kalau inginkan kelainan rasa, boleh taburkan keju atau chocolate rice. Asyik…!

Kepada yang tak tahu, jagung ni ada banyak khasiat seperti serat, beta karoten, vitamin A, vitamin B, vitamin C, vitamin E, vitamin K, folat, mineral seperti mangan, magnesium, zat besi dan banyak lagi. Nanti Cik Yam bebel pasal kebaikan jagung pulak ye.

Selamat mencuba!

Filed Under: Foodlover, Umum Tagged With: jagung, jagung kukus, resepi mudah, Sweetcorn

Matlamat CikYamDotMy

17 March 2019 by Cik Yam 2 Comments

Assalamualaikum wbt.

Sebelum blog ini wujud, Cik Yam suka untuk bercerita dan berkongsi tentang minat, pengalaman, kisah-kisah yang memberi inspirasi, aktiviti team Cik Yam dan juga tentang kerjaya di Facebook. Kini Cik Yam nak berubah angin dengan bercerita kat blog pulak. Acah-acah blogger gitu. Kih kih kih.

Di blog cikyam.my ini, Cik Yam akan cuba untuk menulis terus dari hati tentang apa saja kisah yang mampu memberi manfaat kepada uols semua. Kalau tak banyak, sikit pun jadilah. Manalah tahu dari info yang Cik Yam dok tulis boleh bantu korang ubah hidup kepada yang lebih baik ke. Kan? Paling tidak pun, dapat buat uols happy pun Cik Yam dah syukur sangat.

Matlamat blog

Selain itu, matlamat Cik Yam adalah untuk menjadikan blog ini sebagai sumber rujukan dan informasi, serta mengalu-alukan sekiranya uols berminat untuk menyertai sales team Cik Yam di Coway. Ataupun ingin mengetahui tentang produk-produk Coway. Pun boleh. Siapa tahu, impian Cik Yam nak membina empayar di Coway ini tercapai. Dapatlah Cik Yam berkongsi lebih lagi dengan uols.

Mohon uols doakan Cik Yam istiqomah untuk terus menulis tau! Amin…

Filed Under: Matlamat, Umum Tagged With: CikYamDotMy, Matlamat

Pengalaman Selipar Online Bootcamp

17 March 2019 by Cik Yam Leave a Comment

Selipar Online? Kenapa selipar?

Hingga saat ini Cik Yam sendiri belum sempat bertanya apa relevannya selipar dengan bootcamp yang saya hadiri. Maka, sebagai entri pertama, Cik Yam suka untuk berkongsi tentang pengalaman sepanjang tiga hari dua malam di Nur Lembah Pangsun Eco Resort, Hulu Langat, Selangor.

Pintu masuk Nur Lembah Pangsun

Selipar Online Bootcamp ini di ketuai oleh Encik Kekasih Google, seorang blogger yang cukup dikenali dari dulu hingga kini. Pada hari Jumaat petang, Cik Yam bertolak ke Lembah Pangsun lebih kurang jam 2 petang. Ujian pertama, tersesat hingga ke Sungai Congkak Camping Area gara-gara terlalu percaya dengan Waze. Padan muka. Namun Cik Yam berjaya sampai dengan selamat pada jam 3 petang.

Sesi pertama dimulakan pada jam 5.30 petang. Kami berkumpul dan berjalan ke kawasan sungai. Walaupun sungainya cetek, tapi cukup menenangkan dengan airnya yang sejuk dan dikelilingi pokok-pokok yang menghijau.

Kami memperkenalkan diri masing-masing dan berkongsi serba sedikit dengan tujuan dan expectation kami dari bootcamp ini. Macam Cik Yam sendiri, walaupun pernah cuba-cuba bermain dengan blog masa zaman muda remaja dulu, tapi tidak pernah serius dan cuba untuk belajar lebih mendalam. Maka, peluang belajar mengenai penulisan blog ini sangatlah ohsem!

Tepian sungai Nur Lembah Pangsun

Cik Yam satu bilik dengan rakan-rakan lama di pejabat iaitu Farah Hani, Che Sar, KDee dan Aliya. Masa kami sampai mula-mula tadi, sekadar letak beg je. Sekarang nak bersiap untuk sesi malam. Ujian kedua, panas! Cuaca memang agak panas walaupun tempat kami dikelilingi hutan. Rasa macam duduk dalam sauna dibuatnya. Tapi, hidup perlu diteruskan. Kih kih kih.

Kami berlima dalam satu bilik yang terasing dari kawan-kawan lain. Ada 3 double-decker dan satu bilik air. Masing-masing berebut siapa nak mandi dulu! Teringat zaman belajar duduk asrama. Kenangan betul. Paling kalut bila kena kongsi cermin yang agak kecil untuk 5 orang. Biasalah orang perempuan, mana boleh dipisahkan dengan cermin.

Pada sessi malam kami berkumpul di dewan Al-Hambra. Kami diminta berkongsi kisah sebelum bertemu Coway dan antara yang berkongsi adalah Bubbly, Farhan, Nieda dan Cik Yam sendiri. Kemudian, kami dibahagikan kepada 7 kumpulan dan kumpulan saya dianggotai oleh Azhar, Petit, Oon dan Farhan. Kami diminta untuk berkongsi tentang hobi masing-masing untuk di persembahkan kepada semua yang di dalam kelas. Seronok!

Hari kedua di Selipar Online Bootcamp. Kami berkumpul seawal jam 6.30 pagi. Indah sungguh berada di sini di waktu pagi dengan udara yang cukup nyaman.

Teratai bunga indah

Dalam kami sedang berkumpul, ada kumpulan lain yang turut berada di tempat yang sama untuk senaman pagi dan secara tak sengaja, kami bergabung bersenam bersama yang diketuai oleh Pak Long.

Kami meneruskan sesi bootcamp dengan aktiviti yang lebih mencabar minda. Setiap ahli kumpulan bertungkus lumus untuk memahami kehendak Encik Kekasih Google sebelum memulakan tugasan seterusnya. Kami berhenti seketika untuk makan tengah hari. Lauk yang dihidangkan sungguh menyelerakan. Ada gulai ikan masin dengan nenas, ada ayam masak kicap, ada kobis goreng, sayang sekali tak ada sambal belacan.

Sesi pembelajaran diteruskan pada sebelah petang membawa ke malam. Pada masa ini, mental kami cukup tercabar bila apa yang kami bentangkan tidak menepati piawaian yang ditetapkan. Kumpulan kami mengulang tugasan sebanyak 3 kali hingga ada yang hampir berputus asa. Alhamdulillah, kami mulai faham tentang apa yang cuba disampaikan untuk kami gunakan pada sesi esok, hari terakhir Selipar Online Bootcamp.

Hari ketiga kami mulakan dengan sarapan pagi nasi lemak di Nur Lembah Pangsun Eco Resort. Nasi panas-panas dengan sambal pedas, cukup dengan telur rebus dan kacang goreng, memang ummph! Kemudian sesi terakhir diteruskan akan tetapi dek kerana isyarat internet tersangatlah lemah, kami terpaksa menunda sesi kami di Kuala Lumpur.

Filed Under: Pengalaman, Umum Tagged With: Nur Lembah Pangsun, Selipar Online

Hello world!

14 March 2019 by Cik Yam 1 Comment

Welcome to WordPress. This is your first post. Edit or delete it, then start writing!

Filed Under: Umum

Primary Sidebar

Recent Posts

  • Masuk Singapura Dengan Kereta Persendirian
  • ReViu: Nasi 3 Budak Gemok
  • Dream Cruise – Pelayaran Impian
  • Anda penggemar kopi?
  • Tips menghias ruang dapur yang kecil

Recent Comments

  • meso on Masuk Singapura Dengan Kereta Persendirian
  • Cik Yam on Aplikasi Jom Parking – Cara Mudah Bayar Parkir
  • Cik Yam on Kedai Pakaian Buat Wanita Plus Size
  • Cik Yam on Kedai Pakaian Buat Wanita Plus Size
  • AZNEEN YAHYA on Kedai Pakaian Buat Wanita Plus Size

Archives

  • April 2019
  • March 2019

Categories

  • Dekorasi
  • Foodlover
  • Info menarik
  • Info menarik
  • Matlamat
  • Pengalaman
  • Review
  • Travel
  • Umum

Meta

  • Log in
  • Entries RSS
  • Comments RSS
  • WordPress.org

Copyright © 2021 Cik Yam on the Foodie Pro Theme